Skip to main content

PROGRAM GOTONG-ROYONG MEMASAK BUBUR ASYURA ANJURAN KELAB PPKT

Screenshot 2025 08 01 105203

NIBONG TEBAL, 15 JULAI 2025 (JUMAAT) – Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) dengan kerjasama Kelab PPKT telah mengadakan satu program gotong-royong memasak bubur Asyura telah diadakan di Dataran Pusat Pengetahuan Komputer dan Teknologi (PPKT). Program ini telah dianjurkan oleh Kelab PPKT sempena menyambut bulan Muharam. Aktiviti ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara warga PPKT serta memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan staf.

Program bermula seawal jam 8.00 pagi, semua peserta yang hadir kelihatan bersemangat dan teruja untuk bersama-sama menjayakan program tradisi ini. Setelah taklimat selesai, peserta mula bergotongroyong menyediakan bahan-bahan untuk memasak bubur Asyura seperti santan, kacang hijau, jagung, ubi, dan pelbagai jenis kekacang. Suasana amat meriah dengan gelak tawa dan semangat bekerjasama yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat.

 

Screenshot 2025 08 01 105337

Tepat jam 9.30 pagi, aktiviti memasak bubur Asyura dimulakan. Ramai peserta berkumpul mengelilingi kawah besar sambil mengacau bubur secara bergilir-gilir. Dalam tempoh memasak tersebut, pelbagai perbualan santai berlaku, sekali gus mengeratkan hubungan sesama warga PPKT. Proses memasak mengambil masa hampir tiga jam untuk memastikan bubur benar-benar masak dan pekat.

Sekitar jam 12.00 tengah hari, bubur Asyura siap untuk diagihkan. Setiap peserta serta warga PPKT yang hadir diberikan bubur secara percuma sebagai tanda penghargaan dan perkongsian rezeki.

Secara keseluruhannya, Program Gotong-Royong memasak bubur Asyura ini telah berjaya mencapai objektifnya. Ia bukan sahaja menghidupkan tradisi masyarakat Melayu-Islam, tetapi turut menjadi medan memperkukuh hubungan dan semangat perpaduan antara ahli komuniti PPKT. Diharapkan program seumpama ini akan terus dianjurkan pada masa akan datang agar nilai-nilai murni dapat terus dipupuk dalam kalangan masyarakat.

 

  • Hits: 317

KERJASAMA KPT-KPM PERKASA LALUAN PENDIDIKAN LEPASAN SPM MELALUI PROGRAM KTE PREMIER DI USM

KTE1

NIBONG TEBAL, 10 Jun – Program Pendidikan Tingkatan Enam (KTE) Kampus Universiti yang julung kali dianjurkan secara kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 5,000 permohonan diterima.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program Tingkatan Enam Premier yang dilaksanakan di Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi bukti komitmen kedua-dua kementerian dalam memperkasakan laluan pendidikan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

KTE2

USM telah menjadi tuan rumah bagi pelaksanaan Program Kolej Tingkatan Enam (KTE) Premier hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini bertujuan memperkasa laluan pendidikan pelajar lepasan SPM, khususnya dalam menyediakan peluang lanjutan pendidikan yang lebih terarah dan berkualiti.

KTE3

Pelajar Tingkatan Enam dari pelbagai sekolah telah mengambil bahagian dalam program ini yang berlangsung di kampus USM. Sebagai sebahagian daripada usaha menyokong program tersebut, staf dari Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) turut terlibat dalam proses pengambilan foto serta penyediaan kad matrik bagi pelajar-pelajar yang terlibat. Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan dokumentasi dan identifikasi pelajar, malah turut menzahirkan komitmen USM dalam menyokong agenda pendidikan nasional.

Program KTE Premier ini dijangka dapat menyediakan platform yang kondusif dan holistik kepada pelajar Tingkatan Enam dalam meneruskan pembelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi, sejajar dengan matlamat Melestari Pendidikan Tinggi Negara.

Teks: Puan Jamaliah
Foto: Encik Shamsul

  • Hits: 327

PPKT Kampus Kejuruteraan Menyantuni Lawatan dari UniSZA

lawatan unisza 1

Nibong Tebal, 18 April 2025 – Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Kampus Kejuruteraan telah berbesar hati menerima kunjungan delegasi daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam satu sesi lawatan rasmi yang penuh bermakna. Lawatan tersebut melibatkan seramai enam orang pegawai ICT dari UniSZA dan bertujuan untuk berkongsi pengetahuan serta membina jaringan kerjasama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Lawatan ini dimulakan dengan sesi TechTalk Insight yang menampilkan dua topik utama yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa. Topik pertama bertajuk “Teknologi Makmal HiFlex by E-One” telah disampaikan oleh Mr. Leong Chen Woon dan Ms. Lew Chui Ling. Dalam pembentangan tersebut, mereka berkongsi bagaimana pendekatan HiFlex boleh memperkasa pengalaman pembelajaran hibrid melalui penyepaduan teknologi terkini di makmal pembelajaran. Topik kedua pula bertajuk “Cybersecurity Landscape” yang dibawakan oleh wakil dari Bitdefender Malaysia, iaitu Encik Mohd Hafizul bin Borhan, Senior Presales Manager. Sesi ini membuka minda peserta mengenai cabaran keselamatan siber semasa dan strategi terbaik dalam mempertahankan infrastruktur digital organisasi.

Selesai sesi perkongsian ilmu, para pelawat turut dibawa melawat ke kemudahan-kemudahan ICT yang terdapat di PPKT. Antara lokasi yang dilawati termasuklah Makmal Pengajaran berkapasiti 150 orang, yang dilengkapi kemudahan pembelajaran moden, serta Makmal Multimedia berkapasiti 50 orang, di mana satu sesi demonstrasi sistem VOI (Virtual Operation Interface) telah diadakan. Sistem ini digunakan bagi tujuan pengurusan makmal komputer secara efisien dan berpusat. Lawatan ini bukan sahaja memberi peluang untuk bertukar pandangan dan amalan terbaik, malah membuka ruang kerjasama strategik antara dua institusi pengajian tinggi ini dalam usaha memperkukuh transformasi digital di peringkat universiti. PPKT Kampus Kejuruteraan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UniSZA atas lawatan ini dan berharap jalinan ini akan diteruskan pada masa akan datang melalui kolaborasi yang lebih mantap dan bermakna.

lawatan unisza 2

lawatan unisza 3

 

  • Hits: 301

PPKT KAMPUS KEJURUTERAAN DIIKTIRAF 5 DAUN PROGRAM AUDIT PEJABAT HIJAU USM 2024

audit hijau 2024

PULAU PINANG, 30 OKT 2024 (RABU) -USM melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) telah menganjurkan Program Pejabat dan Desasiswa Hijau (GreenOffice@USM). Salah satu inisiatif di bawah program ini ialah Program Audit Kelestarian Pejabat dan Desasiswa Hijau yang bertujuan untuk memberi pendedahan, penasihatan, dan cadangan yang boleh menyumbang kepada amalan dan aktiviti kelestarian yang berkesan bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang inovatif dan lestari.

Program ini menampilkan pelbagai inisiatif hijau yang digerakkan oleh BJIM dengan kerjasama Kampus Sejahtera USM. Inisiatif ini termasuk pelaksanaan amalan dan dasar yang mengurangkan kesan alam sekitar dalam penggunaan seharian di pejabat dan desasiswa. Program ini juga menekankan konsep Pejabat Hijau yang melibatkan pengurangan jejak karbon, penjimatan kos melalui pengurangan penggunaan tenaga, dan peningkatan semangat serta produktiviti staf.

Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan telah menyahut seruan universiti ke arah Kelestarian Pejabat Hijau dengan memberi kerjasama dan komitmen dalam memastikan kejayaan penarafan Green Leaf. Dalam menjayakan program ini, PPKT bergerak dengan tunggak utama iaitu Jawatankuasa Kelestarian & Keceriaan PPKT serta kerjasama semua staf dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian. Hasilnya, PPKT Kejuruteraan berjaya mendapat Penarafan 5 Daun dalam Program Audit Pejabat Hijau Universiti Sains Malaysia 2024.

Program ini juga melibatkan pelancaran aplikasi GreenPulse USM untuk memudahkan pemantauan dan penyelarasan aktiviti hijau di seluruh PTJ dan kafe di USM. Majlis Penarafan Pejabat Hijau USM turut mengiktiraf PTJ yang menunjukkan komitmen cemerlang dalam usaha kelestarian dengan memberikan anugerah kepada pemenang.

Walaupun program ini menghadapi beberapa cabaran seperti meningkatkan kesedaran dan penglibatan warga kampus, pengurusan sumber dan pembiayaan, serta pematuhan dan penguatkuasaan amalan kelestarian, usaha berterusan dan kerjasama semua pihak diharapkan dapat mengatasi cabaran ini dan mencapai matlamat program untuk mewujudkan persekitaran kampus yang lebih lestari dan mesra alam.

penarafan audit hijau 2024

Teks: En Sheikh Md Roshahidi
Foto: Puan Mashithah

  • Hits: 305

SISTEM E-PILIH ONLINE - PEMILIHAN MPPUSM 2024/2025

MINDEN, 18 NOVEMBER 2024 (ISNIN) – Pemilihan ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Sidang 2024/2025 telah berjalan dengan lancar. Kaedah pemilihan diadakah secara atas talian sepenuhnya yang dibangunkan oleh Seksyen Aplikasi dan Web, Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan. Sistem ini juga mendapat sokongan yang jitu daripada PPKT Kampus Induk dan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA).

Sistem ePilih dibuka bermula pada 8.30 pagi sehingga 5.00 petang kepada semua pemilih yang layak untuk memilih. Sebanyak 17,492 pelajar didaftarkan sebagai pemilih untuk Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan. Pemilihan dikendalikan oleh jawatankuasa yang dilantik di kalangan pelajar.

Sebelum melaksanakan aktiviti pemilihan, pemilih boleh menyemak kelayakan pemilih dengan menggunakan Semakan Daftar Pemilih secara atas talian yang dibuka bermula jam 12 tengahari pada 14 November 2024. Semakan Daftar Pemilih memaparkan tarikh dan masa yang telah ditetapkan untuk memilih. Senarai calon bagi Konstituensi Umum dan Konstituensi Pusat Pengajian pemilih juga dipapar untuk pemilih melihat maklumat terperinci calon.

Setelah selesai pemilihan dijalankan, keputusan rasmi telah dapat diumumkan seawal jam 6.30 petang oleh Timbalan Naib Canselor BHEPA USM, Yang Berusaha Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin. Diharap semoga kelancaran dan kejayaan pemilihan pada kali ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

StatistikPeratusanPemilihMemilih

Statistik Peratusan Pemilih Memilih

 

JPMPPUSM20242025

Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar USM 2024/2025

 KeputusanMPP202425

Pengumuman rasmi keputusan oleh Timbalan Naib Canselor BHEPA USM, Yang Berusaha Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin.

Teks: Pn Shariza Sharuddin
Foto: Pn Shariza Sharuddin

 

  • Hits: 306