Minggu Digital USM (22 - 26 Jun 2026)
- Hits: 247

Pada 20 Mei 2026 yang lalu, Pusat Transformasi Digital (PTD) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin telah menyertai Program Pembudayaan STEM, TVET & Kerjaya SMKASAF 2026 sebagai salah satu peserta pameran utama yang membuka reruai interaktif kepada para pelajar dan pengunjung.
Program yang berlangsung di SMKSAF itu berjaya menghimpunkan pelbagai agensi, institusi pendidikan dan rakan strategik bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar berkaitan bidang STEM, TVET serta peluang kerjaya masa hadapan.
Sepanjang program berlangsung, reruai PTD menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada para pelajar menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan berteraskan teknologi digital. Antara aktiviti utama yang disediakan ialah demonstrasi robotik yang memberi peluang kepada pelajar melihat sendiri aplikasi teknologi automasi dalam dunia sebenar.
Selain itu, para pelajar turut teruja menyertai Kuiz ICT interaktif yang menguji pengetahuan berkaitan teknologi maklumat dan digital. Lebih menarik, peserta yang berjaya menjawab soalan dengan betul berpeluang memilih hadiah misteri daripada “Kotak Misteri” yang disediakan di reruai PTD.
Reruai tersebut turut menyediakan permainan simulator dron yang membolehkan pelajar merasai pengalaman mengendalikan dron secara maya dalam suasana yang menyeronokkan dan selamat. Aktiviti ini secara tidak langsung memberi pendedahan awal terhadap teknologi dron yang kini semakin meluas penggunaannya dalam pelbagai industri.

Salah satu tarikan utama di reruai PTD ialah demonstrasi penggunaan Google AI Studio bagi mengedit gambar pelajar secara langsung. Gambar yang diambil semasa program berlangsung diproses menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk diubah menjadi gambar berformat pasport secara live, sekali gus menarik perhatian ramai pengunjung yang ingin melihat sendiri kemampuan teknologi AI moden.
Pihak PTD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur khususnya Jawatankuasa Program Pembudayaan STEM, TVET & Kerjaya SMKASAF 2026 atas jemputan dan layanan yang diberikan sepanjang program berlangsung. Penghargaan turut diberikan kepada semua guru, staf, sukarelawan serta rakan strategik yang bersama-sama menjayakan program tersebut.
Semoga penglibatan ini dapat terus menyokong usaha membudayakan STEM dan teknologi digital dalam kalangan pelajar sekolah serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneroka bidang teknologi, inovasi dan kecerdasan buatan pada masa hadapan.
Teks: Puan Mashithah Hasim
Foto: Puan Mashithah Hasim

15 Mei 2026 (Jumaat) 10 pagi – Pusat Transformasi Digital (PTD) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dengan kerjasama Kelab PTD telah mengadakan Majlis Persaraan Tuan Haji Mohd Salludin Bin Mohd Salleh.
Majlis diadakan di Bilik Bahagian Aplikasi Digital(DDA) dan dimulakan dengan bacaan Surah AL-KAHFI serta doa oleh Tuan Haji Mohd Salludin sendiri. Majlis diteruskan dengan ucapan Pemangku Ketua Jabatan iaitu Encik Kusairay Bin Musa dan disusuli ucapan Timbalan Presiden Kelab PTD iaitu Encik Sheikh Md Roshahidi Bin Sheikh Daud.
Pelbagai pengisian menarik telah diadakan termasuk tayangan video kenangan, perkongsian pengalaman daripada rakan sekerja serta sesi penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas jasa yang telah dicurahkan.
Setelah 35 tahun berkhidmat, beliau dikenali sebagai seorang pegawai yang berdedikasi, berdisiplin serta sentiasa komited dalam melaksanakan amanah yang diberikan. Pengalaman dan kepakaran beliau bukan sahaja membantu meningkatkan mutu perkhidmatan organisasi, malah menjadi sumber rujukan dan inspirasi kepada warga kerja yang lain. Walaupun persaraan menandakan berakhirnya satu perjalanan kerjaya, jasa dan kenangan bersama beliau akan terus terpahat dalam ingatan semua. Warga organisasi mendoakan agar beliau sentiasa diberikan kesihatan yang baik serta menikmati kehidupan persaraan dengan penuh kebahagiaan bersama keluarga tercinta.
Dalam ucapan persaraan beliau, Tuan Haji Mohd Salludin menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang pernah bekerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya. Beliau turut berpesan agar warga kerja sentiasa mengekalkan semangat kerjasama, integriti dan keikhlasan dalam menjalankan tugas.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan untuk semua hadirin. Terima kasih diucapkan kepada semua warga PTD dalam menjayakan majlis persaraan pada kali ini dan selamat menempuh alam persaraan kepada Encik Salludin.

Teks: Puan Fatin Syaheera Binti Mohd Shariff
Foto: Puan Mashithah Binti Md Hasim

NIBONG TEBAL, 17 April 2026 – Pusat Transformasi Digital (PTD), Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin telah menganjurkan satu sesi TechTalk @PTD-ENG bertajuk “Technology Update & Sustainable Digital Transformation”, secara fizikal dan dalam talian pada 17 April 2026, bermula jam 9.00 pagi.
Program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada staf mengenai perkembangan teknologi terkini dalam bidang ICT serta menyokong usaha pelaksanaan transformasi digital secara mampan di peringkat universiti. Program ini dilihat selaras dengan usaha memperkukuh kompetensi staf dalam penggunaan teknologi digital demi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Program ini menampilkan tiga sesi ceramah menarik yang disampaikan oleh tiga orang staf dari PTD. Sesi pertama dimulakan dengan perkongsian oleh Puan Mashithah Hasim yang membawakan tajuk “Gemini AI untuk Staf USM”. Beliau menyentuh berkaitan langganan lesen Gemini AI PRO di bawah pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu Google Workspace for Education (GWFE) yang dibangunkan oleh Google. GWFE merupakan platform berasaskan awan yang menyediakan pelbagai aplikasi kolaboratif seperti Google Classroom, Google Meet, Google Docs, Google Sheets dan Google Drive. Platform ini membolehkan perkongsian bahan, pengurusan tugasan, komunikasi serta kolaborasi masa nyata antara pensyarah dan pelajar dengan lebih sistematik dan selamat. Semua pengguna yang layak diharapkan untuk kekal aktif menggunakan lesen Gemini AI Pro ini dengan membuat prompt minima 4 kali sebulan melalui Gemini di dalam aplikasi Google Docs, Google Sheets atau Google Slides untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh KPT.
Seterusnya, Encik Hishamuddin Bin Endan berkongsi berkenaan aplikasi yang dibangunkan oleh Google juga iaitu “Pengenalan kepada NotebookLM”. Aplikasi yang berasaskan AI ini, membantu pengguna mengurus dan memahami maklumat dengan lebih cekap. Melalui NotebookLM, pengguna boleh memuat naik dokumen seperti PDF atau nota, seterusnya mendapatkan ringkasan secara automatik, bertanya soalan dan menjana idea berdasarkan kandungan tersebut. Secara ringkasnya, ia bertindak sebagai pembantu peribadi pintar yang mampu meningkatkan produktiviti serta menyokong amalan kerja digital tanpa kertas.
Perkongsian terakhir disampaikan oleh Encik Mazlifendirizan Bin Md Rejab, menerusi tajuk “DECEPTION: The Art of Digital Scams : Seni Tipu Daya dalam Dunia Digital”. Perkongsian berkenaan tajuk ini memberi pendedahan tentang taktik dan teknik yang digunakan oleh penjenayah siber dalam memperdaya mangsa, termasuk penipuan melalui emel, mesej dan platform dalam talian. Pengguna dinasihatkan agar menyedari apa yang dilakukan oleh scammer agar lebih berwaspada dengan taktik yang digunakan. Perkongsian ini amat penting bagi meningkatkan kesedaran serta membantu kita semua lebih berwaspada dan bijak dalam melindungi data serta maklumat peribadi.
Penganjuran TechTalk@PTD-ENG ini diharapkan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada semua yang hadir dan dapat meningkatkan kecekapan kerja serta menyokong transformasi digital di USM.

Nibong Tebal, 10 April 2026 – Pusat Transformasi Digital (PTD) Kampus Kejuruteraan telah mengadakan satu sesi perjumpaan bersama wakil pelajar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Perwakilan Desasiswa (MPD) pada jam 3.00 petang bertempat di Bilik Mesyuarat PTD, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.
Perjumpaan ini berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh kerjasama, bertujuan membincangkan isu-isu berkaitan kemudahan digital yang dihadapi oleh pelajar, khususnya melibatkan capaian WiFi yang merupakan keperluan utama dalam proses pembelajaran masa kini.
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah diwakili oleh Yang Dipertua, Encik Muhammad Nuraiman, manakala Majlis Perwakilan Desasiswa (MPD) diwakili oleh Naib Yang Dipertua 3, Encik Faiq Amrullah. Kedua-dua wakil pelajar telah menyuarakan pelbagai pandangan, maklum balas serta cadangan secara konstruktif bagi menambah baik pengalaman penggunaan kemudahan digital dalam kalangan pelajar.

Encik Mazlifendirizan bin Md Rejab selaku Timbalan Pengarah Teknologi Maklumat mempengerusikan perjumpaan tersebut. Pegawai yang turut hadir adalah Encik Mohamad Khairi bin Osman, Ketua Bahagian Infrostruktur Digital, Encik Mohd Kusairay Bin Musa, Ketua Bahagian Tadbir Urus Digital, Puan Umul Hapsah Binti Mohamad, Ketua Bahagian
Perkhidmatan Digital, Puan Nurzalina Binti Nordin, Ketua Bahagian
Aplikasi Digital dan Puan Mashithah Binti Md Hasim, Ketua Seksyen
Pengurusan Khidmat Pelanggan & Latihan Ict serta wakil-wakil staf PTD yang terlibat.
Selain itu, Bahagian Infrastruktur Digital (BID) diwakili oleh Encik Mohamad Khairi bin Osman yang telah memberikan penjelasan terperinci berhubung isu capaian WiFi serta langkah-langkah penyelesaian yang sedang dan akan dilaksanakan.
Antara cadangan penyelesaian yang dibincangkan termasuk penambahbaikan liputan rangkaian WiFi di kawasan tertentu, pemantauan berkala terhadap prestasi rangkaian serta usaha menaik taraf sistem e-learning bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
Secara keseluruhannya, perjumpaan ini berfungsi sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan antara pihak pengurusan dan pelajar, di samping memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat ditangani secara berkesan demi meningkatkan kualiti perkhidmatan ICT di kampus.
Teks: Shariza
Foto: Mashithah & Shariza