Skip to main content

Pusat Transformasi Digital (PTD) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin Meriahkan Program Pembudayaan STEM, TVET & Kerjaya SMKA Syeikh Abdullah Fahim (SMKASAF) 2026

jm smkaf 2026

Pada 20 Mei 2026 yang lalu, Pusat Transformasi Digital (PTD) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin telah menyertai Program Pembudayaan STEM, TVET & Kerjaya SMKASAF 2026 sebagai salah satu peserta pameran utama yang membuka reruai interaktif kepada para pelajar dan pengunjung.

Program yang berlangsung di SMKSAF itu berjaya menghimpunkan pelbagai agensi, institusi pendidikan dan rakan strategik bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar berkaitan bidang STEM, TVET serta peluang kerjaya masa hadapan.

Sepanjang program berlangsung, reruai PTD menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada para pelajar menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan berteraskan teknologi digital. Antara aktiviti utama yang disediakan ialah demonstrasi robotik yang memberi peluang kepada pelajar melihat sendiri aplikasi teknologi automasi dalam dunia sebenar.

Selain itu, para pelajar turut teruja menyertai Kuiz ICT interaktif yang menguji pengetahuan berkaitan teknologi maklumat dan digital. Lebih menarik, peserta yang berjaya menjawab soalan dengan betul berpeluang memilih hadiah misteri daripada “Kotak Misteri” yang disediakan di reruai PTD.

Reruai tersebut turut menyediakan permainan simulator dron yang membolehkan pelajar merasai pengalaman mengendalikan dron secara maya dalam suasana yang menyeronokkan dan selamat. Aktiviti ini secara tidak langsung memberi pendedahan awal terhadap teknologi dron yang kini semakin meluas penggunaannya dalam pelbagai industri.

jm smkaf 2026 2

Salah satu tarikan utama di reruai PTD ialah demonstrasi penggunaan Google AI Studio bagi mengedit gambar pelajar secara langsung. Gambar yang diambil semasa program berlangsung diproses menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk diubah menjadi gambar berformat pasport secara live, sekali gus menarik perhatian ramai pengunjung yang ingin melihat sendiri kemampuan teknologi AI moden.

Pihak PTD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur khususnya Jawatankuasa Program Pembudayaan STEM, TVET & Kerjaya SMKASAF 2026 atas jemputan dan layanan yang diberikan sepanjang program berlangsung. Penghargaan turut diberikan kepada semua guru, staf, sukarelawan serta rakan strategik yang bersama-sama menjayakan program tersebut.

Semoga penglibatan ini dapat terus menyokong usaha membudayakan STEM dan teknologi digital dalam kalangan pelajar sekolah serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneroka bidang teknologi, inovasi dan kecerdasan buatan pada masa hadapan.

Teks: Puan Mashithah Hasim
Foto: Puan Mashithah Hasim

  • Hits: 11