Pendaftaran Pelajar Baharu Kampus Kejuruteraan USM 2026

NIBONG TEBAL, 19 September 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin hari ini melaksanakan pendaftaran pelajar baharu bagi sesi 2026/2027 yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang.
Proses pendaftaran yang melibatkan Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti (HAC) ini memberi tumpuan kepada penempatan pelajar baharu di Desasiswa Jaya dan Desasiswa Lembaran.
Berdasarkan statistik pendaftaran terkini, seramai 854 pelajar telah mendaftar yang terdiri daripada 527 pelajar lelaki dan 327 pelajar perempuan. Sebanyak 543 pelajar mendaftar di Desasiswa Jaya manakala 357 pelajar mendaftar di Desasiswa Lembaran.
Kelancaran proses pendaftaran turut disokong oleh penglibatan pelajar sedia ada yang dilantik sebagai urusetia. Mereka membantu mengendalikan sistem pendaftaran serta melaksanakan proses penyerahan kunci desasiswa kepada pelajar baharu.
Pusat Transformasi Digital (PTD) Kampus Induk turut bekerjasama menyediakan aplikasi MyDaftar bagi melancarkan urusan pendaftaran pelajar. Pada masa yang sama, Pusat Transformasi Digital (PTD) Kampus Kejuruteraan memainkan peranan dalam memantau perjalanan dan kelancaran sistem sepanjang proses pendaftaran berlangsung.
Aspek keselamatan dan pengurusan trafik turut diberi perhatian menerusi kerjasama Jabatan Keselamatan, khususnya dalam mengawal pergerakan kenderaan yang membawa pelajar baharu dan waris ke kawasan kampus. Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan pula turut bersiap sedia bagi memberikan bantuan sekiranya diperlukan sepanjang program berlangsung.
Profesor Ir. Dr. Mariatti Binti Jaafar @ Mustapha, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM turut hadir bagi melihat sendiri perjalanan proses pendaftaran serta memastikan urusan pelajar baharu berjalan dengan lancar.
Kerjasama erat antara semua pihak mencerminkan komitmen USM dalam memastikan proses pendaftaran dan penempatan pelajar baharu dapat dilaksanakan secara sistematik, teratur dan efisien.


Paparan Aplikasi MyDaftar yang membantu melancarkan proses pendaftaran desasiswa untuk pelajar baharu.
Profesor Ir. Dr. Mariatti Binti Jaafar @ Mustapha, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, turun padang meninjau perjalanan proses pendaftaran pelajar baharu di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Nibong Tebal.

Statistik Keseluruhan Pendaftaran Pelajar Baharu Sidang Akademik 2026/2027, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia.
Teks: Shariza Sharuddin
Foto: DDA
- Hits: 110










