CANVA AI CREATIVE KIDS: MENCUNGKIL KREATIVITI PELAJAR MELALUI TEKNOLOGI AI

PTD, KAMPUS KEJURUTERAAN, USM, 2 September 2026 – Program Canva AI Creative Kids: Cipta, Reka & Berkarya dengan AI telah berjaya dilaksanakan bagi memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai medium kreatif dan pembelajaran digital kepada generasi muda.
Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 4.30 petang bertempat di Makmal Multimedia, Pusat Transformasi Digital, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM) itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 20 orang pelajar daripada pelbagai sekolah rendah dan menengah.
Program ini dirangka khusus untuk pelajar berumur 10 tahun ke atas bagi memberi pendedahan asas kepada penggunaan platform Canva serta fungsi-fungsi AI dalam menghasilkan bahan kreatif dan digital. Para peserta bukan sahaja diperkenalkan kepada konsep asas reka bentuk malah turut diberi peluang meneroka potensi AI dalam menghasilkan idea dan karya mereka sendiri.
Antara pengisian utama program adalah pengenalan kepada asas Canva dan reka bentuk, pengenalan fungsi AI, pembinaan prompt mudah serta penghasilan poster, komik dan cerita digital. Pendekatan pembelajaran secara hands-on turut membolehkan peserta mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari secara terus dalam menghasilkan projek kreatif masing-masing.
Selain kemahiran teknikal, program ini turut memberi penekanan terhadap pembangunan kreativiti, pemikiran kritis dan komunikasi visual dalam kalangan pelajar. Peserta juga didedahkan kepada konsep penggunaan AI secara selamat, beretika dan bertanggungjawab selaras dengan keperluan membentuk generasi celik digital yang mampu memanfaatkan teknologi secara positif.
Sepanjang program, peserta turut berpeluang menghasilkan pelbagai karya kreatif seperti poster, komik dan bahan visual digital bertemakan alam sekitar, kepahlawanan serta makanan tempatan. Hasil karya tersebut kemudiannya dikongsi dan dibentangkan oleh peserta sebagai sebahagian daripada aktiviti pembelajaran.
Melalui program ini, para peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran reka bentuk digital malah dapat meningkatkan keyakinan dalam mencetuskan idea, menghasilkan produk kreatif serta berkongsi hasil karya menggunakan teknologi terkini.
Program Canva AI Creative Kids diharapkan dapat menjadi platform yang berkesan dalam memupuk minat pelajar terhadap kreativiti digital, reka bentuk dan teknologi AI di samping membuka ruang kepada mereka untuk meneroka potensi teknologi dalam pembelajaran dan kehidupan seharian.
Program ini turut mencerminkan usaha Pusat Transformasi Digital, Kampus Kejuruteraan USM dalam memperkasa literasi digital serta menyediakan peluang pembelajaran teknologi yang interaktif dan relevan kepada komuniti, khususnya golongan pelajar.


Teks: Puan Mashithah Hasim
Foto: Puan Mashithah Hasim
- Hits: 27