Skip to main content

Tradisi Bubur Asyura Terus Mekar, Eratkan Ukhuwah Ahli Kelab PTD

NIBONG TEBAL, 19 Jun 2026 – Kelab PTD Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program Kacau Bubur Asyura sebagai salah satu aktiviti tahunan kelab yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga PTD.

Program yang berlangsung di hadapan Bilik Info bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua ahli Kelab PTD. Seawal pagi, para peserta disajikan dengan sarapan sebelum berganding bahu menyediakan bubur Asyura secara bergotong-royong. Menjelang tengah hari pula, peserta turut menikmati jamuan pulut durian, sekali gus menambahkan kemeriahan suasana program.

Bubur Asyura yang telah siap dimasak kemudiannya diagihkan kepada semua staf PTD serta warga yang berada di sekitar Kampus Kejuruteraan sebagai tanda penghargaan dan semangat berkongsi rezeki bersempena bulan Muharam.
Penganjuran program ini bukan sahaja berjaya mengekalkan tradisi penyediaan bubur Asyura yang menjadi warisan masyarakat, malah menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim, semangat kekitaan dan budaya gotong-royong dalam kalangan ahli Kelab PTD serta warga kampus.

Kelab PTD berharap program seumpama ini akan terus menjadi acara tahunan yang dapat menyatukan warga kampus serta memupuk nilai kerjasama dan kebersamaan dalam mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni.

  • Hits: 61