Skip to main content

TechTalk @PTD-ENG : TECHNOLOGY UPDATE & SUSTAINABLE DIGITAL TRANSFORMATION

techtalk April 2026

NIBONG TEBAL, 17 April 2026 – Pusat Transformasi Digital (PTD), Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin telah menganjurkan satu sesi TechTalk @PTD-ENG bertajuk “Technology Update & Sustainable Digital Transformation”, secara fizikal dan dalam talian pada 17 April 2026, bermula jam 9.00 pagi.

Program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada staf mengenai perkembangan teknologi terkini dalam bidang ICT serta menyokong usaha pelaksanaan transformasi digital secara mampan di peringkat universiti. Program ini dilihat selaras dengan usaha memperkukuh kompetensi staf dalam penggunaan teknologi digital demi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

techtalk raya 2026

Program ini menampilkan tiga sesi ceramah menarik yang disampaikan oleh tiga orang staf dari PTD. Sesi pertama dimulakan dengan perkongsian oleh Puan Mashithah Hasim yang membawakan tajuk “Gemini AI untuk Staf USM”. Beliau menyentuh berkaitan langganan lesen Gemini AI PRO di bawah pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu Google Workspace for Education (GWFE) yang dibangunkan oleh Google. GWFE merupakan platform berasaskan awan yang menyediakan pelbagai aplikasi kolaboratif seperti Google Classroom, Google Meet, Google Docs, Google Sheets dan Google Drive. Platform ini membolehkan perkongsian bahan, pengurusan tugasan, komunikasi serta kolaborasi masa nyata antara pensyarah dan pelajar dengan lebih sistematik dan selamat. Semua pengguna yang layak diharapkan untuk kekal aktif menggunakan lesen Gemini AI Pro ini dengan membuat prompt minima 4 kali sebulan melalui Gemini di dalam aplikasi Google Docs, Google Sheets atau Google Slides untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh KPT.
Seterusnya, Encik Hishamuddin Bin Endan berkongsi berkenaan aplikasi yang dibangunkan oleh Google juga iaitu “Pengenalan kepada NotebookLM”. Aplikasi yang berasaskan AI ini, membantu pengguna mengurus dan memahami maklumat dengan lebih cekap. Melalui NotebookLM, pengguna boleh memuat naik dokumen seperti PDF atau nota, seterusnya mendapatkan ringkasan secara automatik, bertanya soalan dan menjana idea berdasarkan kandungan tersebut. Secara ringkasnya, ia bertindak sebagai pembantu peribadi pintar yang mampu meningkatkan produktiviti serta menyokong amalan kerja digital tanpa kertas.

Perkongsian terakhir disampaikan oleh Encik Mazlifendirizan Bin Md Rejab, menerusi tajuk “DECEPTION: The Art of Digital Scams : Seni Tipu Daya dalam Dunia Digital”. Perkongsian berkenaan tajuk ini memberi pendedahan tentang taktik dan teknik yang digunakan oleh penjenayah siber dalam memperdaya mangsa, termasuk penipuan melalui emel, mesej dan platform dalam talian. Pengguna dinasihatkan agar menyedari apa yang dilakukan oleh scammer agar lebih berwaspada dengan taktik yang digunakan. Perkongsian ini amat penting bagi meningkatkan kesedaran serta membantu kita semua lebih berwaspada dan bijak dalam melindungi data serta maklumat peribadi.

Penganjuran TechTalk@PTD-ENG ini diharapkan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada semua yang hadir dan dapat meningkatkan kecekapan kerja serta menyokong transformasi digital di USM.

 

  • Hits: 14