Skip to main content

Pusat Transformasi Digital USM Kampus Kejuruteraan Jayakan Sambutan Jubli Emas SMK Labu Besar dengan Sumbangan ICT dan Perasmian Pusat Sumber

Labu Besar, 27 September 2025 – Karnival Sambutan Jubli Emas SMK Labu Besar 1975–2025 berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian menarik melibatkan murid, alumni, ibu bapa serta komuniti setempat. Antara pengisian utama karnival kali ini ialah pelancaran Pusat Sumber Sekolah yang telah dirasmikan oleh Encik Kusairay Bin Musa, wakil daripada Pusat Transformasi Digital (PTD), Universiti Sains Malaysia, Kampus Kejuruteraan.

Sumbangan signifikan PTD dalam menjayakan acara ini termasuklah penyerahan awal PC terpakai yang masih dalam keadaan baik bagi melengkapkan kemudahan ICT di pusat sumber tersebut. Selain itu, pihak PTD turut menyumbang kepakaran teknikal dengan melakukan pendawaian semula kabel rangkaian (network cabling) untuk memastikan capaian internet yang lebih stabil serta mesra pengguna. Inisiatif ini jelas menunjukkan komitmen PTD dalam mendukung usaha pendigitalan pendidikan di peringkat sekolah.

Selain perasmian, Encik Kusairay turut menyampaikan ceramah keibubapaan bertajuk Kesedaran Penggunaan Telefon Pintar Secara Berhemah. Ceramah ini mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa yang hadir, khususnya dalam membincangkan isu-isu semasa berkaitan keselamatan siber, kawalan masa skrin, dan penggunaan teknologi yang sihat oleh anak-anak.

Pusat Transformasi Digital juga membuka ruang pameran interaktif yang menjadi tarikan utama pengunjung, termasuk:

 *   Simulasi penerbangan drone
 *   Demonstrasi pencetak 3D (3D printer)
 *   Kuiz ICT interaktif yang menguji pengetahuan murid mengenai teknologi digital

Sambutan Jubli Emas SMK Labu Besar turut dimeriahkan dengan penglibatan beberapa agensi luar yang memberi sokongan melalui pameran, gerai jualan, mini zoo, sukan dan pelbagai aktiviti komuniti. Kehadiran pelbagai pihak ini membuktikan bahawa program seumpama ini mampu menjadi platform kolaborasi erat antara sekolah dengan pihak berkepentingan luar.

Melalui penglibatan aktif ini, PTD bukan sahaja menambah nilai terhadap karnival sambutan jubli emas, malah turut memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti setempat. Inisiatif ini diharap dapat menyemai minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selari dengan aspirasi pendidikan negara.

 img01img02

img03img04

Lihat lebih banyak gambar di sini.

 

  • Hits: 62