Skip to main content

Minggu Digital USM 2026 Perkasa Budaya Pendigitalan dan Inovasi di Tiga Kampus USM

MG 1

NIBONG TEBAL, 26 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkasa agenda transformasi digital menerusi penganjuran Minggu Digital USM 2026 yang berlangsung selama lima hari bermula 22 hingga 26 Jun 2026. Program tahunan yang diterajui oleh Pusat Transformasi Digital (PTD) ini telah dilaksanakan secara serentak di Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dan Kampus Kesihatan, melibatkan pelbagai aktiviti berteraskan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), inovasi, keselamatan siber, kelestarian serta pembangunan kompetensi digital warga universiti.

Selaras dengan tema "Transformasi Digital Inklusif Untuk Semua”, Minggu Digital USM 2026 menjadi platform strategik dalam memperkukuh literasi digital, merapatkan jurang digital serta membudayakan penggunaan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab di kalangan warga USM. Program ini turut menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan komuniti kampus yang lebih inovatif, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) serta era kecerdasan buatan.

Kampus Kejuruteraan Meriah dengan Pelbagai Aktiviti Berimpak Tinggi

Di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Minggu Digital 2026 disemarakkan dengan pelbagai program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada staf dan pelajar. Antara aktiviti utama yang dianjurkan ialah:

  • Pertandingan Esport Mobile Legends (MLBB)
  • Pertandingan AI 2 Prompt Poster Digital
  • Klinik PC Pemeriksaan Percuma
  • Ceramah Excel Tak Susah Pun!
  • Perkongsian NotebookLM
  • Sesi Goodbye Minit Manual: Automasi Pengurusan Mesyuarat dengan EzMeeting
  • Bengkel Tips & Trick PowerPoint: Dari Biasa ke Luar Biasa
  • Ceramah Menulis Buku Dalam Era AI Menggunakan Gemini
  • E-Waste Talk bersama Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang

Pelbagai sesi perkongsian ilmu yang dikendalikan oleh pakar dalaman USM serta penceramah jemputan berjaya memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan aplikasi digital terkini, automasi tugasan pejabat, teknologi AI generatif serta amalan pengurusan teknologi yang lebih cekap dan produktif.

Program E-Waste Talk pula meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai kepentingan pengurusan sisa elektronik secara lestari, manakala Klinik PC menawarkan pemeriksaan dan khidmat nasihat teknikal secara percuma kepada warga kampus, sekali gus mencerminkan komitmen PTD dalam menyediakan perkhidmatan yang dekat dengan komuniti universiti.

Pengisian Menyeluruh di Ketiga-tiga Kampus

Sepanjang Minggu Digital 2026, ketiga-tiga kampus USM menganjurkan pelbagai aktiviti yang memenuhi keperluan komuniti masing-masing.

Di Kampus Induk, peserta mengikuti forum transformasi digital, pertandingan inovasi, cabaran AI seperti Prompt2Poster dan Prompt2Solve, serta pelbagai sesi perkongsian mengenai Gemini AI, NotebookLM, keselamatan siber, chatbot dan Enterprise Architecture.

Sementara itu, Kampus Kesihatan menampilkan pertandingan digital, Virtual Fun Run, AI Creative Design Bootcamp, pertandingan TikTok, e-sukan serta pelbagai aktiviti yang menggabungkan kreativiti, teknologi dan kesihatan digital.

Pendekatan serentak di ketiga-tiga kampus berjaya memperlihatkan sinergi seluruh warga USM dalam merealisasikan agenda pendigitalan universiti secara inklusif.

Penyertaan Aktif Warga Universiti

Sepanjang lima hari penganjuran, Minggu Digital USM 2026 menerima penyertaan yang amat memberangsangkan daripada staf akademik, staf pentadbiran, pelajar serta pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ). Selain menimba ilmu melalui sesi perkongsian, peserta turut berpeluang menguji kreativiti, kemahiran teknikal dan daya inovasi menerusi pelbagai pertandingan yang dianjurkan.

Program ini bukan sahaja memperkukuh kompetensi digital warga universiti, malah berjaya memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat serta menggalakkan penerokaan teknologi baharu dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran, penyelidikan dan penyampaian perkhidmatan.

Penutup Melakar Aspirasi Digital USM

Minggu Digital USM 2026 melabuhkan tirainya pada 26 Jun 2026 menerusi majlis penutup yang diadakan di setiap kampus, termasuk penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan serta pengiktirafan kepada individu dan pasukan yang telah menunjukkan kecemerlangan sepanjang program berlangsung.

Penganjuran Minggu Digital USM 2026 membuktikan kesungguhan Universiti Sains Malaysia dalam memperkukuh ekosistem pendigitalan secara menyeluruh. Melalui kerjasama erat antara ketiga-tiga kampus, program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan literasi digital dalam kalangan warga universiti, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya kerja yang lebih pintar, inovatif dan berdaya tahan.

Diharapkan kejayaan penganjuran Minggu Digital USM 2026 akan terus menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif transformasi digital pada masa hadapan, sekali gus mengukuhkan kedudukan USM sebagai universiti yang progresif, inovatif dan sentiasa mendahului dalam agenda pendigitalan pendidikan tinggi negara.

MG 1

  • Hits: 42

Pusat Transformasi Digital (PTD) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin Meriahkan Program Pembudayaan STEM, TVET & Kerjaya SMKA Syeikh Abdullah Fahim (SMKASAF) 2026

jm smkaf 2026

Pada 20 Mei 2026 yang lalu, Pusat Transformasi Digital (PTD) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin telah menyertai Program Pembudayaan STEM, TVET & Kerjaya SMKASAF 2026 sebagai salah satu peserta pameran utama yang membuka reruai interaktif kepada para pelajar dan pengunjung.

Program yang berlangsung di SMKSAF itu berjaya menghimpunkan pelbagai agensi, institusi pendidikan dan rakan strategik bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar berkaitan bidang STEM, TVET serta peluang kerjaya masa hadapan.

Sepanjang program berlangsung, reruai PTD menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada para pelajar menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan berteraskan teknologi digital. Antara aktiviti utama yang disediakan ialah demonstrasi robotik yang memberi peluang kepada pelajar melihat sendiri aplikasi teknologi automasi dalam dunia sebenar.

Selain itu, para pelajar turut teruja menyertai Kuiz ICT interaktif yang menguji pengetahuan berkaitan teknologi maklumat dan digital. Lebih menarik, peserta yang berjaya menjawab soalan dengan betul berpeluang memilih hadiah misteri daripada “Kotak Misteri” yang disediakan di reruai PTD.

Reruai tersebut turut menyediakan permainan simulator dron yang membolehkan pelajar merasai pengalaman mengendalikan dron secara maya dalam suasana yang menyeronokkan dan selamat. Aktiviti ini secara tidak langsung memberi pendedahan awal terhadap teknologi dron yang kini semakin meluas penggunaannya dalam pelbagai industri.

jm smkaf 2026 2

Salah satu tarikan utama di reruai PTD ialah demonstrasi penggunaan Google AI Studio bagi mengedit gambar pelajar secara langsung. Gambar yang diambil semasa program berlangsung diproses menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk diubah menjadi gambar berformat pasport secara live, sekali gus menarik perhatian ramai pengunjung yang ingin melihat sendiri kemampuan teknologi AI moden.

Pihak PTD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur khususnya Jawatankuasa Program Pembudayaan STEM, TVET & Kerjaya SMKASAF 2026 atas jemputan dan layanan yang diberikan sepanjang program berlangsung. Penghargaan turut diberikan kepada semua guru, staf, sukarelawan serta rakan strategik yang bersama-sama menjayakan program tersebut.

Semoga penglibatan ini dapat terus menyokong usaha membudayakan STEM dan teknologi digital dalam kalangan pelajar sekolah serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneroka bidang teknologi, inovasi dan kecerdasan buatan pada masa hadapan.

Teks: Puan Mashithah Hasim
Foto: Puan Mashithah Hasim

  • Hits: 66

Majlis Persaraan Tuan Haji Mohd Salludin Bin Mohd Salleh

persaraan en deen backdrop

15 Mei 2026 (Jumaat) 10 pagi – Pusat Transformasi Digital (PTD) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dengan kerjasama Kelab PTD telah mengadakan Majlis Persaraan Tuan Haji Mohd Salludin Bin Mohd Salleh.

Majlis diadakan di Bilik Bahagian Aplikasi Digital(DDA) dan dimulakan dengan bacaan Surah AL-KAHFI serta doa oleh Tuan Haji Mohd Salludin sendiri. Majlis diteruskan dengan ucapan Pemangku Ketua Jabatan iaitu Encik Kusairay Bin Musa dan disusuli ucapan Timbalan Presiden Kelab PTD iaitu Encik Sheikh Md Roshahidi Bin Sheikh Daud.

Pelbagai pengisian menarik telah diadakan termasuk tayangan video kenangan, perkongsian pengalaman daripada rakan sekerja serta sesi penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas jasa yang telah dicurahkan.

Setelah 35 tahun berkhidmat, beliau dikenali sebagai seorang pegawai yang berdedikasi, berdisiplin serta sentiasa komited dalam melaksanakan amanah yang diberikan. Pengalaman dan kepakaran beliau bukan sahaja membantu meningkatkan mutu perkhidmatan organisasi, malah menjadi sumber rujukan dan inspirasi kepada warga kerja yang lain. Walaupun persaraan menandakan berakhirnya satu perjalanan kerjaya, jasa dan kenangan bersama beliau akan terus terpahat dalam ingatan semua. Warga organisasi mendoakan agar beliau sentiasa diberikan kesihatan yang baik serta menikmati kehidupan persaraan dengan penuh kebahagiaan bersama keluarga tercinta.

Dalam ucapan persaraan beliau, Tuan Haji Mohd Salludin menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang pernah bekerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya. Beliau turut berpesan agar warga kerja sentiasa mengekalkan semangat kerjasama, integriti dan keikhlasan dalam menjalankan tugas.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan untuk semua hadirin. Terima kasih diucapkan kepada semua warga PTD dalam menjayakan majlis persaraan pada kali ini dan selamat menempuh alam persaraan kepada Encik Salludin.persaraan en deen1persaraan en deen2

Teks:  Puan Fatin Syaheera Binti Mohd Shariff

Foto: Puan Mashithah Binti Md Hasim

  • Hits: 116

TechTalk @PTD-ENG : TECHNOLOGY UPDATE & SUSTAINABLE DIGITAL TRANSFORMATION

techtalk April 2026

NIBONG TEBAL, 17 April 2026 – Pusat Transformasi Digital (PTD), Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin telah menganjurkan satu sesi TechTalk @PTD-ENG bertajuk “Technology Update & Sustainable Digital Transformation”, secara fizikal dan dalam talian pada 17 April 2026, bermula jam 9.00 pagi.

Program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada staf mengenai perkembangan teknologi terkini dalam bidang ICT serta menyokong usaha pelaksanaan transformasi digital secara mampan di peringkat universiti. Program ini dilihat selaras dengan usaha memperkukuh kompetensi staf dalam penggunaan teknologi digital demi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

techtalk raya 2026

Program ini menampilkan tiga sesi ceramah menarik yang disampaikan oleh tiga orang staf dari PTD. Sesi pertama dimulakan dengan perkongsian oleh Puan Mashithah Hasim yang membawakan tajuk “Gemini AI untuk Staf USM”. Beliau menyentuh berkaitan langganan lesen Gemini AI PRO di bawah pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu Google Workspace for Education (GWFE) yang dibangunkan oleh Google. GWFE merupakan platform berasaskan awan yang menyediakan pelbagai aplikasi kolaboratif seperti Google Classroom, Google Meet, Google Docs, Google Sheets dan Google Drive. Platform ini membolehkan perkongsian bahan, pengurusan tugasan, komunikasi serta kolaborasi masa nyata antara pensyarah dan pelajar dengan lebih sistematik dan selamat. Semua pengguna yang layak diharapkan untuk kekal aktif menggunakan lesen Gemini AI Pro ini dengan membuat prompt minima 4 kali sebulan melalui Gemini di dalam aplikasi Google Docs, Google Sheets atau Google Slides untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh KPT.
Seterusnya, Encik Hishamuddin Bin Endan berkongsi berkenaan aplikasi yang dibangunkan oleh Google juga iaitu “Pengenalan kepada NotebookLM”. Aplikasi yang berasaskan AI ini, membantu pengguna mengurus dan memahami maklumat dengan lebih cekap. Melalui NotebookLM, pengguna boleh memuat naik dokumen seperti PDF atau nota, seterusnya mendapatkan ringkasan secara automatik, bertanya soalan dan menjana idea berdasarkan kandungan tersebut. Secara ringkasnya, ia bertindak sebagai pembantu peribadi pintar yang mampu meningkatkan produktiviti serta menyokong amalan kerja digital tanpa kertas.

Perkongsian terakhir disampaikan oleh Encik Mazlifendirizan Bin Md Rejab, menerusi tajuk “DECEPTION: The Art of Digital Scams : Seni Tipu Daya dalam Dunia Digital”. Perkongsian berkenaan tajuk ini memberi pendedahan tentang taktik dan teknik yang digunakan oleh penjenayah siber dalam memperdaya mangsa, termasuk penipuan melalui emel, mesej dan platform dalam talian. Pengguna dinasihatkan agar menyedari apa yang dilakukan oleh scammer agar lebih berwaspada dengan taktik yang digunakan. Perkongsian ini amat penting bagi meningkatkan kesedaran serta membantu kita semua lebih berwaspada dan bijak dalam melindungi data serta maklumat peribadi.

Penganjuran TechTalk@PTD-ENG ini diharapkan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada semua yang hadir dan dapat meningkatkan kecekapan kerja serta menyokong transformasi digital di USM.

 

  • Hits: 157