Program Pengumpulan E-Waste Minggu Digital USM 2026 Berjaya Kumpul Lebih 2 Tan Sisa Elektronik
NIBONG TEBAL, 25 Jun 2026 – Program Pengumpulan E-Waste sempena Minggu Digital USM 2026 yang dianjurkan oleh Pusat Transformasi Digital (PTD), Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada warga Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin apabila seramai 50 penyumbang telah mengambil bahagian dalam inisiatif kelestarian ini.
Program yang berlangsung di Kawasan Parkir Bangunan Dewan Kuliah, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dari 9.30 pagi hingga 3.00 petang itu merupakan salah satu pengisian utama sempena Minggu Digital USM 2026 yang membawa tema "Transformasi Digital Inklusif Untuk Semua".
Hasil kerjasama dan komitmen warga kampus, sebanyak 2,079.97 kilogram (≈ 2.08 tan) sisa elektronik (e-waste) berjaya dikumpulkan untuk dilupuskan secara selamat dan mesra alam melalui saluran yang telah ditetapkan.
Pelbagai jenis sisa elektronik telah diterima sepanjang program berlangsung, antaranya komputer, komputer riba, monitor, pencetak, telefon bimbit, papan kekunci, tetikus, kabel, pengecas, peralatan elektrik dan elektronik serta kartrij dan ink pencetak terpakai. Program ini turut menawarkan insentif "Tukar E-Waste kepada Tunai", sekali gus menggalakkan lebih ramai warga kampus untuk menguruskan sisa elektronik secara bertanggungjawab.
Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada warga universiti untuk melupuskan peralatan elektronik yang tidak lagi digunakan dengan cara yang selamat, malah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan sisa elektronik yang lestari dalam usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar dan menyokong amalan ekonomi kitaran (circular economy).
Program Pengumpulan E-Waste ini turut menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim serta SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat.

Kejayaan mengumpulkan lebih 2 tan e-waste dalam tempoh sehari membuktikan komitmen tinggi warga USM terhadap pemeliharaan alam sekitar serta menyokong aspirasi universiti dalam membudayakan amalan kelestarian seiring dengan agenda transformasi digital. Inisiatif seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan kesedaran sivik dan tanggungjawab bersama dalam pengurusan sisa elektronik yang mampan.
- Hits: 7