Aktiviti Gotong-Royong Pusat Transformasi Digital Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin berlangsung dengan jayanya
NIBONG TEBAL, 24 April 2026 – Pusat Transformasi Digital (PTD) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin telah menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana pada hari Jumaat, 24 April 2026, yang melibatkan penyertaan semua staf PTD. Program ini diadakan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih bersih, selamat, kondusif serta meningkatkan semangat kerjasama dalam kalangan warga PTD.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan. Antaranya ialah kerja-kerja memotong pokok-pokok yang telah membesar dan berpotensi mengganggu keselamatan serta mencacatkan landskap kawasan sekitar bangunan. Aktiviti ini berjaya menjadikan kawasan persekitaran pejabat lebih kemas, selamat dan teratur.
Selain itu, satu lagi aktiviti penting yang dilaksanakan ialah penukaran papan tanda nama jabatan daripada Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) kepada PusatTransformasi Digital (PTD).
Penukaran ini merupakan sebahagian daripada usaha penjenamaan semula jabatan selaras dengan hala tuju dan peranan baharu PTD dalam memperkasakan agenda transformasi digital di kampus.

Program turut melibatkan aktiviti mengenal pasti aset-aset ICT yang telah usang atau tidak lagi ekonomik untuk digunakan. Pemeriksaan dan semakan telah dijalankan terhadap komputer serta monitor yang memenuhi syarat untuk dilupuskan mengikut prosedur pengurusan aset yang ditetapkan. Aktiviti ini membantu memastikan rekod aset sentiasa dikemas kini di samping mengoptimumkan pengurusan aset jabatan.
Penganjuran program ini telah mendapat komitmen dan kerjasama yang amat baik daripada semua staf PTD. Semangat bekerjasama, saling membantu dan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh setiap peserta telah menyumbang kepada kelancaran semua aktiviti yang dirancang.
Secara keseluruhannya, Program Gotong-Royong PTD pada kali ini telah berjaya mencapai objektif penganjurannya, iaitu memperindahkan persekitaran tempat kerja, memperkukuhkan semangat kerja berpasukan, menyokong usaha penjenamaan jabatan serta meningkatkan kecekapan pengurusan aset organisasi. Diharapkan program seumpama ini akan terus dianjurkan dari semasa ke semasa bagi memupuk budaya kerja yang lebih produktif, harmoni dan kondusif dalam kalangan warga Pusat Transformasi Digital Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.
Disediakan Oleh : Pn. Junaidah Binti Jaapar
- Hits: 7