Kempen Kitar Semula: USM Terus Melangkah ke Arah Kampus Lestari
25 Jun 2025 - Sebagai usaha berterusan dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG), khususnya SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Secara Bertanggungjawab, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM) telah menganjurkan Program Pengumpulan Barangan Kitar Semula pada 24 Jun 2025 (Selasa) bertempat di Science and Engineering Research Centre (SERC).
Program yang dijalankan dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang ini merupakan hasil kerjasama antara BJIM, E-Idaman, Enactus USM, dan Kelab Enovate. Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan warga kampus mempraktikkan budaya kitar semula, guna semula dan kurangkan sisa (3R) dalam kehidupan seharian, selaras dengan visi USM sebagai universiti berstatus Apex dan Kampus Hijau (Green Campus).
Antara barangan kitar semula yang diterima dalam program ini termasuklah:
- Kertas campur, kertas hitam putih dan surat khabar
- Kotak minuman (OCC)
- Plastik campur, PET, HDPE, LDPE dan PP
- Minyak masak terpakai
- Tin aluminium dan tin besi
- Kaca dan barangan logam lain (besi, tembaga, dan sebagainya)
Menariknya, program ini turut memberi peluang kepada peserta untuk menukar barangan kitar semula kepada wang tunai, sebagai galakan agar lebih ramai warga universiti mengambil bahagian dalam amalan lestari ini.
Kempen ini juga memperkukuh komitmen USM terhadap beberapa Matlamat Pembangunan Lestari lain, antaranya:
- SDG 11: Bandar dan Komuniti yang Lestari, melalui pengurusan sisa yang lebih cekap.
- SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim, dengan mengurangkan kesan pencemaran dan pelepasan karbon daripada bahan buangan.
- SDG 15: Kehidupan di Darat, melalui pengurangan sisa pepejal yang berakhir di tapak pelupusan.
Program ini telah berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan warga kampus termasuk staf akademik, pentadbiran dan pelajar. Melalui usaha sebegini, USM bukan sahaja memperkukuh peranannya sebagai peneraju pendidikan lestari, malah turut membudayakan tanggungjawab alam sekitar dalam kalangan komuniti universiti.
Secara keseluruhan, Program Pengumpulan Barangan Kitar Semula 2025 ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperjuangkan nilai kelestarian, mendidik komuniti kampus tentang kepentingan kitar semula, serta menyumbang kepada agenda global “Transforming Our World: The 2030 Agenda for Sustainable Development.”
- Hits: 25