Webinar "Jom Kitar Semula" Galak Masyarakat Amalkan Budaya Lestari
Pulau Pinang, 17 Jun 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM) dengan kerjasama E-Idaman Sdn Bhd telah menganjurkan satu webinar bertajuk “Jom Kitar Semula” yang berlangsung secara atas talian melalui platform Webex.
Webinar yang bermula pada jam 10:30 pagi hingga 12:30 tengah hari ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan amalan kitar semula dalam komuniti. Program ini turut menekankan beberapa topik penting termasuk jenis-jenis bahan yang boleh dikitar semula, kaedah pengasingan yang betul menggunakan aplikasi idamanXchange, serta peranan individu dalam menjayakan misi kelestarian alam sekitar.
Program ini menampilkan Encik Muhammad Hanifah bin Redzuan, Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat E-Idaman Sdn Bhd, sebagai penceramah jemputan. Dalam sesi perkongsian beliau, peserta diberikan pendedahan mengenai cara pengurusan sisa kitar semula secara sistematik dan berkesan menggunakan teknologi aplikasi.
Menurut penganjur, inisiatif ini sejajar dengan usaha menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim).
Webinar ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat. Para peserta turut diberikan peluang untuk berinteraksi secara langsung serta mengemukakan soalan kepada penceramah berkenaan isu dan cabaran berkaitan kitar semula.
Penganjuran webinar seperti ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam memperkukuh budaya lestari serta memperkasakan masyarakat untuk bertindak sebagai agen perubahan dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar.
- Hits: 22