TechTalk Insight@PPKT 1/2025: Teknologi Makmal Hiflex & Cybersecurity Landscape
Nibong Tebal, 18 April 2025 – Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) telah menganjurkan TechTalk Insight@PPKT 1/2025 dengan tema “Teknologi Makmal Hiflex & Cybersecurity Landscape” secara hibrid, menggabungkan kehadiran bersemuka dan atas talian bermula jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari yang melibatkan staf USM dari PPKT Pulau Pinang, IPPT, PPKT Kampus Kejuruteraan, PPKT Kampus Kesihatan dan wakil dari PTJ dari Kampus Kejuruteraan.
Sesi ini bertujuan untuk memperkenalkan perkembangan terkini dalam teknologi makmal digital serta meningkatkan kesedaran terhadap isu keselamatan siber dalam persekitaran pembelajaran dan kerja berasaskan teknologi.
Perkongsian pertama disampaikan oleh Ms. Chui Ling dan Mr. Leong dari E-One Technology, yang menekankan kepentingan pelaksanaan Makmal Hiflex (Hybrid Flexible Laboratory) sebagai penyelesaian moden dalam pendidikan tinggi.
Konsep Hiflex membolehkan pelajar mengikuti aktiviti makmal sama ada secara fizikal di kampus atau secara maya dari lokasi jauh, dengan pengalaman pembelajaran yang setara melalui integrasi perisian interaktif, kamera pintar dan pengurusan data masa nyata.
Para peserta turut diberi penerangan tentang reka bentuk makmal pintar, keperluan infrastruktur rangkaian serta contoh pelaksanaan sebenar di beberapa institusi pengajian tinggi yang berjaya meningkatkan keberkesanan pengajaran melalui teknologi Hiflex.
Slot kedua diteruskan dengan perkongsian menarik oleh En. Mohd Hafizul dari Bitdefender Malaysia yang mengupas topik “Cybersecurity Landscape” satu bidang yang semakin penting dalam ekosistem digital semasa.
Beliau mengemukakan pelbagai bentuk ancaman siber yang kini menyasarkan sektor pendidikan dan organisasi penyelidikan termasuk serangan ransomware, pencerobohan data dan eksploitasi kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, beliau turut menerangkan kepentingan kesedaran pengguna, amalan pengurusan kata laluan yang selamat serta penggunaan sistem pertahanan siber berlapis (multi-layered protection) bagi melindungi aset digital organisasi.
Program ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman peserta terhadap kemajuan teknologi makmal hibrid dan keselamatan siber, malah membuka ruang perkongsian ilmu serta jaringan profesional antara institusi dan rakan industri.
Secara keseluruhannya, TechTalk Insight@PPKT 1/2025: Teknologi Makmal Hiflex & Cybersecurity Landscape telah mencapai objektif penganjuran dengan memberikan pendedahan komprehensif terhadap inovasi pendidikan digital dan strategi keselamatan siber terkini.
Disediakan oleh:
Umul Hapsah Mohamad
Bahagian Perkhidmatan Digital
Pusat Transformasi Digital
Universiti Sains Malaysia, Kampus Kejuruteraan
- Hits: 57