PROGRAM GOTONG-ROYONG MEMASAK BUBUR ASYURA ANJURAN KELAB PPKT
NIBONG TEBAL, 15 JULAI 2025 (JUMAAT) – Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) dengan kerjasama Kelab PPKT telah mengadakan satu program gotong-royong memasak bubur Asyura telah diadakan di Dataran Pusat Pengetahuan Komputer dan Teknologi (PPKT). Program ini telah dianjurkan oleh Kelab PPKT sempena menyambut bulan Muharam. Aktiviti ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara warga PPKT serta memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan staf.
Program bermula seawal jam 8.00 pagi, semua peserta yang hadir kelihatan bersemangat dan teruja untuk bersama-sama menjayakan program tradisi ini. Setelah taklimat selesai, peserta mula bergotongroyong menyediakan bahan-bahan untuk memasak bubur Asyura seperti santan, kacang hijau, jagung, ubi, dan pelbagai jenis kekacang. Suasana amat meriah dengan gelak tawa dan semangat bekerjasama yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat.
Tepat jam 9.30 pagi, aktiviti memasak bubur Asyura dimulakan. Ramai peserta berkumpul mengelilingi kawah besar sambil mengacau bubur secara bergilir-gilir. Dalam tempoh memasak tersebut, pelbagai perbualan santai berlaku, sekali gus mengeratkan hubungan sesama warga PPKT. Proses memasak mengambil masa hampir tiga jam untuk memastikan bubur benar-benar masak dan pekat.
Sekitar jam 12.00 tengah hari, bubur Asyura siap untuk diagihkan. Setiap peserta serta warga PPKT yang hadir diberikan bubur secara percuma sebagai tanda penghargaan dan perkongsian rezeki.
Secara keseluruhannya, Program Gotong-Royong memasak bubur Asyura ini telah berjaya mencapai objektifnya. Ia bukan sahaja menghidupkan tradisi masyarakat Melayu-Islam, tetapi turut menjadi medan memperkukuh hubungan dan semangat perpaduan antara ahli komuniti PPKT. Diharapkan program seumpama ini akan terus dianjurkan pada masa akan datang agar nilai-nilai murni dapat terus dipupuk dalam kalangan masyarakat.
Teks: Puan Jamaliah
Foto: Puan Mashithah
- Hits: 72