Kursus MagicLight AI “Belajar dan Berkarya dengan Teknologi AI” Perkasa Literasi Digital Pelajar Sekolah
NIBONG TEBAL, 7 Januari 2026 – Pusat Transformasi Digital, Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Kursus MagicLight AI bertajuk “Belajar dan Berkarya dengan Teknologi AI” pada 7 Januari 2026 bertempat di Makmal Multimedia, Pusat Transformasi Digital, Kampus Kejuruteraan.
Kursus sehari ini melibatkan 20 penyertaan pelajar sekolah dari kawasan sekitar yang berumur 10 hingga 16 tahun dan telah berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Penganjuran program ini bertujuan memperkenalkan asas teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) serta menggalakkan penerapan teknologi AI dalam proses pembelajaran dan penghasilan karya kreatif secara beretika dan bertanggungjawab.
Sepanjang kursus, para peserta didedahkan kepada pengenalan konsep AI, penggunaan aplikasi MagicLight AI serta aktiviti pembelajaran berbentuk praktikal yang merangsang kreativiti, pemikiran kritis dan inovasi. Pendekatan pembelajaran secara interaktif dan berasaskan aktiviti telah memberi peluang kepada peserta untuk memahami potensi teknologi AI sebagai alat sokongan pembelajaran selari dengan keperluan pendidikan digital masa kini.
Penganjuran kursus ini selaras dengan usaha USM dalam memperkukuh literasi digital dan menyokong pembangunan bakat teknologi dalam kalangan generasi muda. Program seumpama ini diharap dapat diteruskan bagi menyemai minat awal terhadap teknologi baharu serta mempersiapkan pelajar menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21.
Teks: Puan Umul Hapsah
Foto: Puan Sharifah Shakila
- Hits: 74