Penarafan 5 Daun
Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya menerima Penarafan 5 Daun dalam Program Audit Pejabat Hijau Universiti Sains Malaysia 2024. Pengiktirafan ini merupakan hasil usaha berterusan PPKT dalam melaksanakan amalan kelestarian yang menyokong aspirasi universiti ke arah kampus hijau dan lestari.

Program Audit Pejabat Hijau merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Pejabat dan Desasiswa Hijau (GreenOffice@USM) yang dianjurkan oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) dengan kerjasama Kampus Sejahtera USM. Program ini bertujuan memberi pendedahan, bimbingan, dan cadangan bagi memperkukuh amalan kelestarian dalam persekitaran kerja di seluruh universiti.

Kejayaan PPKT meraih penarafan tertinggi ini adalah hasil komitmen teguh Jawatankuasa Kelestarian & Keceriaan PPKT serta kerjasama semua staf yang aktif melaksanakan pelbagai inisiatif hijau. Antara usaha yang dijalankan termasuk pengurangan penggunaan tenaga, pengurusan sisa dengan lebih cekap, serta penggalakan budaya kerja hijau di tempat kerja. Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan jejak karbon tetapi juga meningkatkan produktiviti dan semangat warga kerja.
Melalui pengiktirafan ini, PPKT terus menyokong matlamat SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari) dan SDG 13 (Tindakan terhadap Iklim) dengan mengekalkan komitmen terhadap amalan lestari dalam operasi harian.
Pencapaian ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi peranan USM sebagai universiti lestari bertaraf dunia, selaras dengan visinya untuk menjadi peneraju dalam pendidikan, penyelidikan, dan inovasi yang berteraskan kelestarian demi kesejahteraan masyarakat sejagat.
- Hits: 29