Kelestarian dan Keselamatan Ruang Kerja Semasa Cuti Raya

Musim cuti panjang dan perayaan sering dinantikan oleh warga kerja untuk meluangkan masa bersama keluarga di kampung halaman. Namun begitu, dalam kegembiraan menyambut cuti, aspek keselamatan dan kelestarian ruang kerja perlu diberi perhatian bagi memastikan operasi organisasi kekal selamat dan lestari.
Antara langkah penting yang wajar diambil sebelum meninggalkan tempat kerja ialah memastikan semua pintu dan tingkap dikunci dengan sempurna. Ini penting bagi mengelakkan sebarang risiko pencerobohan atau kehilangan aset jabatan.
Selain itu, barang berharga dan dokumen penting hendaklah disimpan di tempat yang selamat serta berkunci untuk menjamin kerahsiaan dan keselamatan data organisasi.
Dari sudut kelestarian tenaga, warga kerja digalakkan untuk menutup semua suis utama, mencabut plug dan mematikan peralatan elektrik seperti komputer, pencetak serta pendingin hawa. Langkah ini bukan sahaja mengelakkan risiko kebakaran, malah menyumbang kepada penjimatan tenaga serta mengurangkan jejak karbon jabatan.
Di samping itu, pastikan sisa makanan dan minuman dibuang atau dibersihkan sebelum meninggalkan ruang kerja. Kebersihan ini dapat mengelakkan kehadiran serangga dan tikus yang boleh menjejaskan persekitaran pejabat.
Langkah-langkah kecil seperti ini mencerminkan nilai tanggungjawab dan keprihatinan setiap warga terhadap keselamatan serta kelestarian jabatan. Seperti yang ditekankan dalam kempen keselamatan,
“Keselamatan jabatan tanggungjawab bersama – cegah dulu sebelum bencana.”
- Hits: 24