Skip to main content

Program Mega COMBI 2026: Cari dan Musnah Aedes Tingkatkan Kesedaran Kebersihan Warga PTD

NIBONG TEBAL, 2 Julai 2026 – Pusat Transformasi Digital (PTD), Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM) telah melaksanakan Program Mega COMBI 2026: Cari dan Musnah Aedes pada Khamis, 2 Julai 2026, bermula jam 3.00 petang dengan penglibatan seluruh warga PTD.

Program yang diadakan di sekitar kawasan dalam dan luar bangunan PTD ini bertujuan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, meningkatkan tahap kebersihan persekitaran pejabat serta memupuk kesedaran terhadap kepentingan pencegahan penyakit bawaan nyamuk seperti demam denggi.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh di kawasan yang berpotensi menjadi lokasi pembiakan Aedes, termasuk kawasan lembap dan takungan air pada sistem penyejukan penyaman udara berpusat. Bagi mengurangkan risiko pembiakan jentik-jentik, ubat pembasmi jentik-jentik telah dimasukkan ke dalam setiap takungan air yang dikenal pasti.

Selain itu, ubat jentik-jentik turut diletakkan pada semua pokok hiasan di dalam ruang pejabat sebagai langkah pencegahan awal bagi memastikan bekas tanaman tidak menjadi habitat pembiakan nyamuk Aedes.


Pemeriksaan turut dijalankan terhadap sistem saliran bagi memastikan aliran air sentiasa lancar, bersih dan bebas daripada sebarang halangan yang boleh menyebabkan air bertakung. Pasukan program juga membuat pemeriksaan terhadap sistem bekalan air tanaman hidroponik berikutan kerosakan pada motor pam. Sebagai langkah pencegahan sementara, semua bekas yang berpotensi menakung air telah diterbalikkan bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik.

Program ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek kebersihan dan kawalan pembiakan nyamuk Aedes, malah berjaya menyemai semangat gotong-royong, kerjasama dan rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan warga PTD untuk menjaga kebersihan persekitaran kerja.

Penganjuran Program Mega COMBI 2026 membuktikan komitmen berterusan PTD dalam menyokong usaha Universiti Sains Malaysia untuk mewujudkan persekitaran kampus yang bersih, sihat dan selamat. Diharapkan program seumpama ini akan diteruskan secara berkala bagi meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap kepentingan penjagaan kebersihan serta pencegahan penyakit bawaan nyamuk Aedes.

Disediakan oleh:
Puan Shariza Binti Sharuddin

  • Hits: 8